JITRA - Hotel-hotel bajet memiliki kelebihan untuk memikat pengunjung khususnya pelancong asing dan membantu kerajaan mencapai matlamat menarik lebih 36 juta pelancong ke Malaysia menjelang tahun 2020.
Naib Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA), Ir Mohamed Hassan KB Hamzah berkata, kelebihan itu kerana pengusaha hotel bajet sentiasa berhadapan dan melayan pelancong yang datang dan sekaligus dapat memikat mereka.
Beliau berkata, kedudukan strategik kebanyakan hotel bajet yang berdekatan pelbagai kemudahan awam dan dengan pengetahuan pengusaha mengenai asal usul dan produk-produk pelancongan tempatan, membantu mereka memberi penerangan kepada pelancong.
"Kelebihan-kelebihan ini tidak terdapat pada hotel-hotel bertaraf empat bintang ke atas, malah untuk bertemu pemiliknya amat sukar sekali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus sehari pengurusan dan pemasaran untuk kakitangan hotel bajet peringkat zon utara di Hotel Bustani di sini hari ini.
Menurut beliau, kursus itu selaras dengan rancangan kerajaan memperkenalkan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia yang mensasarkan pendapatan sebanyak RM168 bilion daripada lebih 36 juta pelancong berkunjung ke negara ini pada tahun 2020. - Bernama